KUALA LUMPUR, 17 Januari- Sebahagian asrama dan stor simpanan barang di sebuah rumah anak yatim di Taman Air Panas, Setapak di sini musnah terbakar, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 pagi.
Komander Operasi, Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata, seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dibantu BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul dikerah ke lokasi kejadian.
Kebakaran melibatkan stor simpanan barang yang terletak di belakang asrama di banglo dua tingkat.
“Menurut penjaga rumah itu, kesemua penghuni telah dikeluarkan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Jumlah penghuni yang terlibat adalah 12 kanak-kanak lelaki , 20 kanak-kanak perempuan, selain 5 penjaga terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Daniel, stor tersebut hampir musnah dengan 80 peratus terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.21 pagi dan padam sepenuhnya selepas satu jam kemudian.
“Operasi tamat pada 5.48 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.