RTM terima Anugerah Liputan Cemerlang, bina naratif positif kepada masyarakat

KUALA LUMPUR, 6 Disember – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima Anugerah Media Liputan Cemerlang sebagai pengiktirafan atas komitmen dan peranan penting dalam menyebarluaskan pembangunan serta pencapaian Pergerakan Pengakap Malaysia (PPM).

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof. Dr. Mohd Zin Bidin berkata, media memainkan peranan signifikan dalam membina naratif positif dan mengetengahkan kisah kejayaan belia Pengakap yang memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

“Kerjasama strategik antara PPM dan media akan terus memperkukuh pendidikan sivik serta pemahaman masyarakat mengenai usaha pembangunan belia.

“Dengan lebih 300,000 ahli aktif di Malaysia dan 60 juta ahli di 174 negara, Pengakap adalah gerakan pembangunan belia yang berpengaruh. Ini bukan sekadar angka, tetapi harapan dan masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Media PPM 2025 yang berlangsung di ibu negara.

Kerjasama erat antara Pengakap Malaysia dan media dilihat mampu memperkukuh pendidikan sivik, patriotisme, dan pemahaman masyarakat terhadap usaha pembangunan belia.

Seiring dengan cabaran teknologi, sosial, dan alam sekitar masa kini, PPM terus memperkukuh hala tuju strategik menerusi latihan kepimpinan abad ke-21, program belia lebih kreatif dan responsif, pembangunan bakat dalam bidang teknologi, inovasi, dan alam sekitar, selain pengukuhan imej dan tadbir urus organisasi.

Majlis itu secara keseluruhannya membuka ruang kerjasama lebih kukuh pada masa hadapan, memastikan gerakan Pengakap kekal relevan, dinamik dan berimpak tinggi dalam membentuk masyarakat lebih baik.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan rakan-rakan media — termasuk media cetak, elektronik dan digital — yang telah menjadi rakan strategik penting dalam menyebarkan aspirasi, visi serta misi Pergerakan Pengakap ke seluruh negara.