fb fb fb fb fb

RTM tampil kelainan siaran langsung Hari Malaysia 2025

Suhaimi Sulaiman

BUTTERWORTH, 16 September- Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited menampilkan kelainan dalam siaran langsung sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang malam ini, jelas Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

Beliau berkata, ia berikutan maklum balas positif yang diterima semasa liputan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang lalu.

Tambahnya, walaupun acara berlangsung pada sebelah malam, persiapan kakitangan RTM bermula sejak awal pagi dengan kerjasama baik daripada agensi-agensi lain yang terlibat.

"Hari Malaysia kali ini pendekatannya sedikit berbeza, disertai kualitinya yang sangat baik. Saya percaya penonton akan dapat menyaksikan kehebatan persiapan malam ini di TV1 serta saluran lain yang mengambil siaran daripada RTM," katanya selepas menjadi tetamu DJ Corner MutiaraFM di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia, Nasaruddin Mutalib dan Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md. Shahri Saripan.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bermula 8.30 malam dengan lima segmen utama menonjolkan identiti dan warisan budaya Melayu, Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.

Acara akan turut menyaksikan majlis menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut akan memeriahkan sambutan ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama barisan jemaah menteri.

SITI AISHAH BINTI MD ISA