fb fb fb fb fb

MDX 2025 pacu ekonomi digital negara dengan teknologi masa depan

Ketua dan Naib Presiden Kanan Transformasi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit

KUALA LUMPUR, 16 September - Sidang Kemuncak Xceleration Digital Malaysia (MDX) 2025 terus memperkukuh peranannya dalam memacu aspirasi pembangunan ekonomi digital negara menerusi pengenalan teknologi masa depan yang inovatif dan berimpak tinggi.

Ketua dan Naib Presiden Kanan Transformasi Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata, inisiatif itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau utama dalam sektor ekonomi digital bukan sahaja di peringkat ASEAN, malah ke peringkat global.

Beliau berkata, MDX 2025 memfokuskan lima teras strategik yang digariskan dengan matlamat membentuk Malaysia sebagai sebuah negara berteraskan ekonomi digital secara menyeluruh.

"MDX merupakan platform penting dalam menyatukan pelbagai pemain industri, pemikiran dan inovator teknologi ke arah membina masa depan digital Malaysia yang mampan.

"Persidangan itu memberi tumpuan teknologi generasi akan datang (NEXTGEN) dan membincangkan lima bidang teras utama dalam sesi panel sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.

Terdahulu, MDX edisi ketiga akan berlangsung bersama Sidang Kemuncak SmartGov Malaysia 2025 bermula esok hingga Jumaat ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sidang Kemuncak MDX 2025 memberi tumpuan kepada lima bidang teras, Data Generasi Seterusnya, Pengkomputeran; Generasi Seterusnya, Amanah; Generasi Seterusnya, Kreativiti; Generasi Seterusnya dan Bakat Generasi Seterusnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE