(Foto FB AFF Mitsubishi Electric Cup)
KUALA LUMPUR, 27 Disember- RTM akan menyiarkan perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric mulai 27 Disember 2022 (malam ini) sehingga perlawanan akhir yang dijadualkan pada 16 Januari 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa ramai peminat bola sepak tanah air telah memohon agar perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric disiar di saluran RTM.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
"Saya juga telah berbincang dengan YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang turut mencadangkan perkara yang sama.
"Oleh itu, sukacita saya maklumkan bahawa saluran RTM akan menyiarkan perlawanan Piala AFF Mitsubishi Electric,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Para peminat bola sepak boleh menyaksikan sebanyak 10 perlawanan Kejohanan yang akan disiarkan di saluran TV2 dan Sukan RTM serta penstriman langsung melalui
aplikasi RTMKlik.
Siaran oleh RTM ini merupakan siaran tidak berbayar (free to air - FTA) dan tertakluk kepada syarat kontrak hak siaran eksklusif, iaitu stesen penyiar FTA hanya dibenarkan menyiarkan perlawanan 15 minit lewat daripada waktu sebenar perlawanan.