fb fb fb fb fb

RTM Sarawak terima tujuh kenderaan siaran luar radio digital

Majlis penyerahan kenderaan bagi Projek Menaik Taraf Peralatan Penerbitan Siaran Luar Radio Digital di Kuching

KUCHING, Mac 7- Jabatan Penyiaran Sarawak menerima tujuh buah kenderaan bagi Projek Menaik Taraf Peralatan Penerbitan Siaran Luar Radio Digital ke arah meningkatkan perkhidmatan serta kualiti siaran lebih mantap di seluruh negeri itu.

Penyerahan tersebut melibatkan sebuah Van Siaran Luar (OB) dan enam buah kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan terkini bagi penerbitan siaran luar radio secara digital.

Pengarah Bahagian Pembangunan Fasiliti (BPF) RTM Ismail Seman menyempurnakan majlis penyerahan tender itu di Auditorium P. Ramlee di sini.

"Dengan kemudahan-kemudahan baharu ini yang disediakan oleh Syarikat VME Broadcast Sendirian Berhad tersebut, RTM Sarawak akan terus meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan siaran lebih kreatif serta inovatif agar RTM kekal relevan dalam industri siaran, khususnya di negeri ini," beliau berucap pada majlis penyerahan kenderaan bagi Projek Menaik Taraf Peralatan Penerbitan Siaran Luar Radio Digital, di sini.

Beliau membaca teks ucapan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ts Putri Juliana Yaacob.

Pada majlis tersebut, satu sesi menandatangani sijil penyerahan projek telah dilakukan oleh Ismail Seman bersama-sama Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak Wan Azhan Wan Hamat mewakili RTM Sarawak dan Pengarah Urusan Syarikat VME Broadcast Sendirian Berhad, Datuk Azhar Abdul Rahman dan Pengurus Projek, Norsalam Mohd Akip.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran Sarawak Norjihan Yahya dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Radio Dayang Astina Abang Andeng.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI