fb fb fb fb fb

RTM Melaka ungguli enam anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025

Penyampai radio RTM Melaka, Murni Shafinaz Abu Salim dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyampai Radio Cemerlang (Tuah)

BANDARAYA MELAKA, 15 Disember -RTM Melaka mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang enam anugerah pada Majlis Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025 yang berlangsung malam tadi.

Kejayaan itu melibatkan beberapa kategori utama termasuk Penyampai Radio Cemerlang, Media Digital Cemerlang, Berita TV Cemerlang dan Wartawan Muda Melaka Cemerlang.

Anugerah Penyampai Radio Cemerlang (Tuah) menjadi milik Murni Shafinaz Abu Salim, manakala kategori Jebat disandang oleh Muhammad Asrul Edzuandy Mustapa dan Shahrizad Abu Bakar.

Dalam kategori digital pula, Mohd Saffuan Md Shah diangkat sebagai penerima Anugerah Media Digital Cemerlang (Jebat).

Kecemerlangan RTM Melaka turut terserlah menerusi Unit Berita Ehwal Semasa, apabila Nor Amalina Abdul Halim menerima Anugerah Berita TV Cemerlang (Tuah), sementara Nurul Ashikin Abd Halim dinobatkan sebagai Wartawan Muda Melaka Cemerlang.

Bagi Murni Shafinaz, pengiktirafan itu disambut dengan penuh rasa syukur serta penghargaan terhadap sokongan yang diterima sepanjang kerjayanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka, Pengarah RTM Melaka serta rakan-rakan penyampai radio yang sentiasa menyokong,” katanya.

Bagi Mohd Saffuan, kemenangan tersebut dianggap sebagai pengalaman bermakna, apatah lagi ia merupakan pencalonan pertamanya.

“Terima kasih kepada RTM Melaka kerana memberi sokongan. Ini kali pertama saya dicalonkan dan saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini,” katanya.

Sementara itu, Nor Amalina melihat kejayaan tersebut sebagai pencapaian bersama seluruh warga RTM.

“Kemenangan ini sebenarnya adalah kemenangan bersama warga RTM Melaka dan RTM Angkasapuri, selain menjadi contoh serta dorongan kepada rakan-rakan wartawan muda,” katanya.

Bagi Nurul Ashikin, anugerah yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai pengamal media.

“Anugerah ini menjadi dorongan kepada kami warga media di Melaka untuk terus menyampaikan berita dan laporan positif mengenai negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, sebanyak 14 anugerah disampaikan pada majlis tersebut bagi menghargai peranan pengamal media.

“Anugerah ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri Melaka atas sumbangan dan komitmen pengamal media sepanjang saya menerajui pentadbiran negeri ini,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN