fb fb fb fb fb

RTM henti siaran ‘Santiago of the Seas’

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 17 November - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan siaran siri animasi Santiago of the Seas bagi menjalankan penelitian lanjut terhadap keseluruhan kandungannya selepas menerima beberapa pandangan berkaitan episod 22 yang ditayangkan di TV2 pada Ahad, 16 November 2025.

RTM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil laporan penilaian kandungan dan semakan dalaman sebelum ini tidak mengesan sebarang perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis mahupun elemen yang menjurus ke arahnya.

"Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM telah menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri tersebut.

“RTM kekal komited memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran serta tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak,” katanya.

Dalam masa sama, RTM turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak menimbulkan spekulasi yang tidak wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE