fb fb fb fb fb

RTM diiktiraf antara 30 penyiar terbaik dunia, bukti transformasi digital berjaya

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada program siaran langsung Selamat Pagi Malaysia dan Nasional FM anjuran Radio Televisyen Malaysia / BERNAMA

ALOR SETAR, 4 Mei-  Kejayaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersenarai dalam Triton Digital’s Global Streaming Rankers bagi Mac 2025 membuktikan stesen penyiaran terulung negara itu kekal relevan dan terus unggul di pentas dunia.

Orang ramai di Kedah yang ditemui menyifatkan RTM sebagai sebuah agensi yang berjaya menyesuaikan diri dengan cabaran semasa melalui transformasi digital berterusan, sekali gus membuktikan ia bukan lagi sekadar tontonan luar bandar semata-mata.

Azman Hassan, seorang usahawan, berkata kejayaan tersebut sekali gus menepis tanggapan bahawa RTM hanya diminati golongan tertentu.

“Saya ucapkan tahniah kepada RTM kerana berjaya raih anugerah digital global yang ke-30. Dengan teknologi digital ni, kita boleh tengok dan dengar RTM di mana-mana saja. Zaman sekarang ni guna handphone pun boleh akses RTM walaupun duduk luar negara sekalipun,” katanya.

 

0405 REAX KEDAH RTM 3Azman Hassan, ditemu ramah wartawan RTM

Sementara itu, Mohd Badrulhisham Mohd Saad, seorang ahli perniagaan, berpandangan bahawa kejayaan ini membuktikan RTM kini lebih maju dari sudut penyampaian maklumat dengan platform digital sebagai teras utama.

“Hari ini dengan pendigitalan, RTM dah sampai satu tahap di mana maklumat boleh diakses dengan lebih mudah dan cepat hanya di hujung jari. Pendigitalan ni sangat membantu masyarakat dapatkan maklumat yang tepat dan terperinci,” ujarnya.

Kejayaan cemerlang itu dianggap detik bersejarah buat Malaysia apabila RTM berdiri sebaris dengan penyiar audio digital terkemuka dunia termasuk rangkaian terkenal dari Amerika Syarikat, Eropah dan Amerika Latin.

Menurut data terkini, RTM kini berada di kedudukan ke-30 di seluruh dunia dengan purata sesi aktif (AAS) sebanyak 9,630 – menunjukkan secara purata terdapat 9,630 sesi mendengar unik yang aktif pada strim digital RTM sepanjang Mac 2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE