fb fb fb fb fb

Pendaki maut di Gunung Rinjani dijangka dikeluarkan dari lokasi kejadian hari ini

Pendaki Malaysia, Rennie Abdul Ghani yang maut ketika dalam pendakian di Gunung Rinjani, semalam dilaporkan terjatuh ke jurang sedalam lebih 100 meter di laluan Torean. / FB Rennie Abdul Ghani

KUALA LUMPUR 4 Mei - Jenazah Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57 tahun, rakyat Malaysia yang dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, tengah hari semalam ketika aktiviti pendakian dijangka dikeluarkan dari lokasi kejadian hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan adik perempuannya yang hanya mahu dikenali sebagai Yana kepada pihak media.

“Sedang dalam proses bawa jenazah keluar secara manual sebab helikopter tidak dapat turun ke bawah.

“Anggaran mungkin hari ini,” katanya.

Yana turut dimaklumkan pihak berkuasa di sana bahawa urusan membawa keluar jenazah turut bergantung situasi semasa di lokasi, terutama cuaca dan keadaan gunung terbabit.

Allahyarham masih belum dikeluarkan kerana lokasi kejadian yang curam dengan pesawat tidak boleh digunakan bagi bantuan kecemasan.

Semalam, pihak berkuasa taman negara di Pulau Lombok memaklumkan pendaki warga Malaysia terjatuh ketika pendakian di kawasan Banyu Urip.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian Dan Pertolongan.

Allahyarham Rennie memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.

Pihak keluarga dimaklumkan mengenai berita itu kira-kira jam 8 malam tadi dan Rennie dilaporkan terjatuh jam 1 tengah hari (waktu Malaysia).

MOHAN CHINNASAMY