GUA MUSANG, 14 Januari- Tiga ekor gajah liar dikesan memasuki kawasan rumah penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok Baru di Gua Musang, Kelantan sejak dua minggu lalu.
Ia menimbulkan ketakutan kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan itu.
Kehadiran gajah liar itu pada waktu tengah malam dan awal pagi telah merosakkan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, serai dan ubi kayu.
Serangan gajah berkenaan juga adalah dianggap paling buruk sejak RKT Renok Baru dibuka 45 tahun lalu.
Menurut peneroka RKT Renok Baru Rani Awang Su, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini peneroka telah mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat serangan gajah.
"Kerugian kita dianggarkan berpuluh ribu di RKT Renok Baru. Gajah yang masuk ini makan semua, sawit, kelapa dan macam-macam lagi. Masyarakat mengalami kerugian, penduduk nak pergi kerja pun payah.
"Nak menoreh, nak pergi potong buah sawit pun takut sebab kehadiran gajah ini. Jadi minta pihak yang berwajib bertanggungjawab berkenaan serangan gajah tiga beranak ini," katanya kepada pemberita di sini.
Bagi A. Rahman Jusoh, dia turut berasa ketakutan dan turut kerugian.
"Gajah ini, rumah sahaja tak tolak. Hasil tanaman tepi rumah habis ditolak seperti kelapa, kelapa sawit dan pisang. Apa yang ada semua habis dimakan.
"Masyarakat di sini tidak boleh buat kerja. Semakin lama semakin takut dan banyak kerugian terpaksa ditanggung," katanya.
Bagaimanapun peneroka di kawasan itu telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap tindakan agresif dapat dilakukan termasuklah memindahkan gajah berkenaan.