RPN 2026-2035 lonjakan besar pendidikan negara

FOTO BERNAMA

JOHOR BAHRU, 22 Januari – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 disifatkan sebagai lonjakan besar pendidikan negara, khususnya meletakkan Bahasa Melayu pada kedudukan teragung.

RINGKASAN BERITA AI
  • RPN 2026-2035 mengangkat Bahasa Melayu ke kedudukan teragung sebagai alat pemersatu dan identiti kebangsaan.
  • Bahasa Melayu diwajibkan di semua jenis sekolah untuk memastikan komunikasi merentas kaum dan pengukuhan negara bangsa.
  • Subjek Sejarah diwajibkan untuk membina jati diri, kesedaran kenegaraan dan tanggungjawab sebagai warganegara.

Keputusan mewajibkan Bahasa Melayu kepada semua jenis sekolah dilihat sebagai normalisasi penting, memastikan bahasa bukan sekadar lingua franca, malah alat pemersatuan nasional.

Pandangan itu disuarakan Ketua Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan dan Kenegaraan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Azhar Abdul Hamid.

“Bahasa amat penting kerana bahasa merupakan jiwa bangsa. Tanpa bahasa, sesuatu bangsa itu kehilangan jiwanya. Dalam konteks sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kedaulatan bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal atau bukan fizikal semata-mata, sebaliknya bahasa berperanan sebagai alat pemersatu yang membentuk identiti dan penyatuan negara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Bahasa Melayu membolehkan komunikasi merentas kaum dan latar sosial, dalam ruang rasmi serta tidak rasmi, sekali gus mengukuhkan pembinaan negara bangsa.

Sementara itu, kewajipan subjek Sejarah dilihat pendekatan terbaik menyuntik jati diri dan kesedaran kenegaraan, agar pelajar memahami tanggungjawab sebagai warganegara.

“Sejarah merupakan antara elemen penting yang perlu diberi penekanan kepada pelajar kerana melalui subjek ini, mereka dapat mengenal jati diri serta membentuk identiti sebagai warganegara.

“Pemahaman terhadap sejarah juga penting dalam melahirkan generasi yang mampu membina sebuah negara merdeka serta mempertahankan kedaulatannya,” katanya lagi.