fb fb fb fb fb

Rotary Malaysia iktiraf pengorbanan PDRM, perangi COVID-19 dalam negara

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Rotary Malaysia hari ini memberi pengiktirafan atas sumbangan dan pengorbanan petugas barisan hadapan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus berusaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Gabenor Kelab Rotary Malaysia, Datuk Bindi Rajasegaran berkata pengiktirafan yang diberikan itu adalah hasil peranan yang dimainkan oleh semua petugas PDRM dan barisan hadapan lain sehingga negara pernah mendapat pengiktirafan dunia.

"Jadi itulah yang kami ingin lakukan kali ini bersama PDRM untuk mengiktiraf wira-wira negara. Terdapat ramai yang bekerja untuk keselamatan negara dan keselamatan kita dan mereka tidak diiktiraf sama sekali," kata Datuk Bindi Rajasegaran kepada pemberita RTM dalam sebuah majlis di ibu negara.

Rotary Malaysia turut menyifatkan kesemua petugas barisan hadapan sebagai wira negara yang telah bekerja keras sejak dari awal wabak COVID-19 dikesan dalam negara.

Majlis penghargaan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman, Pengerusi Vokasional, Datuk Shamrat Sen Gupta, barisan Ketua Jabatan dan Ketua-ketua Polis Daerah serta Ahli Jawatankuasa Kelab Rotary Malaysia.


(Gabenor Kelab Rotary Malaysia, Datuk Bindi Rajasegaran menjelaskannya dalam sidang media selepas majlis penghargaan yang diadakan di ibu negara)

Media Baharu