BAYAN LEPAS, 23 September - Mengurangkan jurang pembangunan antara negeri antara agenda utama kerajaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan Persekutuan sama sekali tidak pernah pilih kasih dalam aspek pembangunan negeri.
Sebaliknya, beberapa aspek perlu dinilai terlebih dahulu sebelum pembangunan dijalankan di mana-mana negeri.
Antara faktor lain yang diambil kira ialah pelaburan yang selari dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Tambahnya, RMK13 bakal menyaksikan setiap negeri menjadi pemacu pertumbuhan serantau yang memperkasakan rakyat ke arah kehidupan sejahtera dan bermaruah.
“Kita memastikan yang perbelanjaan pembangunan diperuntukkan di semua negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Manakala dari segi penarikan pelaburan, kita ada insentif program baharu bagi mereka yang meletakkan pelaburan di sektor penting di wilayah yang kurang pembangunan, akan diberi insentif yang lebih,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini.
Sesi libat urus yang pertama kali dianjurkan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dan kerajaan negeri bagi merealisasikan pelaksaan RMK13 selepas diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.