fb fb fb fb fb

RM500,000 diperlukan bawa pulang Asmah ke Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 November - Sebanyak RM500,000 diperlukan untuk menampung kos membawa pulang jemaah haji, Asmah Mansor, 71 tahun, yang masih menerima rawatan di Saudi German Hospital, Mekah sejak 13 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini hampir RM10,000 telah dikumpul melalui akaun khas di bawah Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

"Saya dimaklumkan oleh doktor pakar di Arab Saudi dan doktor Tabung Haji telah maklumkan kepada saya urusan kemungkinan sebanyak RM500,000 diperlukan untuk membawa balik Hajah Asmah ini pulang ke tanah air.

"Kita hendak buat pahala, apa kata kita beri peluang orang lain pun untuk buat pahala, sebab ini amal jariah yang besar, jadi kita sebab itu kita buka ruang dan dari pihak kerajaan juga akan membantu", katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Fardu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Kos tinggi perjalanan pulang disebabkan keperluan penggunaan alat ventilator secara berterusan, termasuk semasa penerbangan bagi memastikan keadaan pesakit tetap stabil sepanjang perjalanan.

Datuk Dr Mohd Na’im turut melahirkan simpati terhadap Asmah, yang kini sedang menjalani proses pemulihan selepas keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam masa sama, warga kerja Lembaga Tabung Haji (TH) terus memberikan sokongan moral dan menziarahi beliau dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Musa’adah JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia, melalui akaun CIMB Islamic, 86-0221818-6, dengan menyertakan nama Hajah Asmah binti Mansor sebagai rujukan.

ROSLINA BINTI DIN