PAPAR, 4 Mei - Sejumlah RM50 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata RM25 juta daripada jumlah peruntukan berkenaan disalurkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), RM17 juta lagi disalurkan kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).
Manakala, RM8 juta lagi diperuntukkan kepada Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM).

"Pendekatan kita di KKDW adalah untuk menentukan bahawa kaedah kos rendah berimpak tinggi menjadi keutamaan kepada semua perbelanjaan pembangunan operasi yang diperuntukkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra di MRSM Kota Kinabalu di sini yang kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman yang turut dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Tambah Ahmad Zahid, dengan peruntukan itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diharap akan dapat memastikan semua projek baik pulih serta naik taraf institusi terlibat mampu dilaksanakan pada tahun ini.
Selain dapat memastikan keberkesanan semua usaha dilakukan melibatkan semua agensi di bawah kementerian.