KUALA LUMPUR, 14 Jun -Kerajaan memperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan belia di negara ini tahun ini.
Jumlah tersebut meningkat berbanding RM3 juta tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan peruntukan itu dibuat sebagai pengiktirafan terhadap semangat dan komitmen golongan belia dalam membangunkan negara.
"Tahun lalu kita umumkan tambahan sebanyak RM3 juta kepada KBS dan kerana semangat yang ditunjukkan hari ini, pada tahun ini kita naikkan menjadi RM4 juta kepada belia Malaysia.
Menurut beliau, peningkatan peruntukan itu juga membuktikan kejayaan dasar tatakelola baik yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
"Kenapa kita boleh senang berikan tambahan? kerana Kerajaan Madani cermat, tatakelolanya dijaga dan jangan izinkan pemimpinnya sakau duit rakyat", katanya ketika berucap merasmikan Sambutan hari belia negara 2025 di Dataran Merdeka hari ini.
Dalam masa sama beliau turut menggesa golongan belia menjadi suara yang membantu dalam membina Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani.