KUALA LUMPUR, 5 Septemper - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menganggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM392 bilion sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah banjir hingga 2100.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesungguhan kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim ditunjukkan melalui pelaburan besar kepada sektor air negara.
"Kesungguhan kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim dizahirkan melalui pelaburan besar kepada sektor air negara. ini termasuklah peruntukan RM15 bilion secara ‘off budget’ untuk tempoh lapan (8) tahun bermula tahun 2023 hingga 2030 bagi projek-projek tebatan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh serta pembinaan struktur sabo di kawasan kritikal yang terjejas teruk akibat monsun laut," katanya di sini.
Tuan Ibrahim menambah, untuk langkah jangka masa panjang hingga tahun 2100, KASA menganggarkan peruntukan sebanyak RM392 bilion diperlukan bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia.
“Anggaran kos ini antara lain merangkumi komponen utama tebatan banjir dan saliran bandar sebanyak RM230.71 bilion serta infrastruktur pantai RM126.55 bilion,”
Tuan Ibrahim berkata KASA komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui langkah jangka sederhana dan panjang termasuk pembangunan infrastruktur perlindungan khususnya bagi bencana berkaitan air.
Di samping itu, menurutnya faktor perubahan iklim turut diambil kira dalam penyediaan reka bentuk pembangunan bagi memastikan infrastruktur air yang dibangunkan berdaya tahan terhadap kesan fenomena perubahan iklim.
"Kementerian juga sedang merangka pelaksanaan adaptasi perubahan iklim. Peningkatan suhu global akan meningkatkan lagi risiko bencana dan kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi.
“Dalam hal ini, kerajaan telah membangunkan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040 bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-12 hingga ke Rancangan Malaysia Ke-15,” katanya.
(Tuan Man keika berucap pada Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran
Pejabat Ketua Pembangkang dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen)
Beliau berkata agenda itu turut memberi fokus kepada usaha pengukuhan tadbir urus sektor termasuklah mengarusperdanakan adaptasi dalam pengurusan risiko banjir dengan mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka panjang dan pendek pengurusan banjir.
Selain itu, Tuan Ibrahim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Ketua Negara dan Kerajaan pada 6 Nov 2022 di Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC) di Sharm El Sheikh, Mesir.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam ucapan pembukaannya berkata masalah banjir yang sering dikaitkan dengan perubahan iklim memerlukan setiap Ahli Parlimen memainkan peranan dalam membina kesedaran terhadap krisis iklim di kawasan masing-masing.
Beliau berkata Ahli-Ahli Parlimen boleh memainkan peranan dengan melibatkan diri dan aktif dalam pertubuhan masyarakat sivil antaranya berkaitan dengan perubahan iklim, pembangunan mampan, bantuan kemanusiaan dan bencana termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan belia.
"Penglibatan ahli Parlimen dalam masyarakat sivil ini mampu menyumbang pengalaman dan bimbingan dalam memberi bantuan kepada masyarakat setempat yang terjejas akibat bencana," katanya.