fb fb fb fb fb

RM35,700 kompaun, majikan gagal patuh perintah gaji minimum

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Sebanyak RM35,700 kompaun telah dikeluarkan kepada majikan di seluruh negara sejak penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum 2022 dilaksanakan dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 31 Disember tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata dalam tempoh itu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah melakukan pemeriksaan terhadap 28,722 premis majikan dan hasilnya 33 kes telah didakwa.

Pada masa yang sama juga sebanyak 2,659 syor pematuhan telah dilakukan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

(Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud)

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu langkah penguatkuasaan kerajaan terhadap majikan yang tidak mematuhi penetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 itu.

Katanya majikan yang didapati gagal mematuhi penetapan itu boleh dikenakan tindakan pendakwaan dan kompaun dengan denda maksimum sehingga RM10,000.

Bermula 1 Mei tahun lalu, kerajaan menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum 2022 bagi majikan yang mengambil lima orang pekerja atau lebih, manakala bagi majikan yang menggaji kurang daripada lima orang, peraturan yang sepatutnya dilasanakan pada 1 Jan lepas ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.-BERNAMA

Media Baharu