ALOR GAJAH, 22 Ogos- Kementerian Kerja Raya memperuntukkan sebanyak RM31 juta kepada Kerajaan Negeri Melaka pada tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di 64 lokasi negeri itu.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sehingga kini terdapat 45 lokasi yang masih dalam pembaikan dan 15 telah siap.
Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan, susulan Melaka sedang melaksanakan Tahun Melawat Melaka 2024 dan ramai pemimpin negara akan datang ke Melaka pada mesyuarat Pengerusi ASEAN 2025, tahun depan.
"Kebanyakan jenis kerosakan yang dikenal pasti disebabkan mendapan yang mungkin akibat banjir, faktor jalan yang semakin berusia dan laluan dilalui oleh kenderaan lebih muatan.
"Untuk itu kita akan lakukan kerja-kerja mengukuhkan turapan jalan kerana kita bimbang bila sampai musim tengkujuh, air hujan akan membuatkan kerosakan sedia ada semakin teruk dan membahayakan pengguna jalan raya", katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Alor Gajah.
Dalam pada itu, kementerian memperuntukkan RM1.5 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Kilometer 55 Alor Gajah bermula awal September dan dijangka siap pada Oktober ini.