KLUANG, 7 Januari- Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan awal sebanyak RM30 juta bagi membaik pulih 37 jalan rosak dan cerun runtuh yang dikenal pasti di Johor.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia melibatkan 29 jalan rosak akibat banjir dan lapan cerun runtuh.
Tiga daerah di negeri itu mengalami kerosakan teruk iaitu di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Bagaimanapun kerja-kerja awalan membaik pulih cerun juga telah dimulakan sejak awal minggu ini.
"Sebagai contoh menutup cerun yang runtuh dengan kaedah kanvas dan sebagainya. Yang lain-lain akan kita perbaiki dsecepat mungkin apabila hujan berkurangan.
"Tetapi kalau hujan lebat, pembetulan dan penambahbaikan yang dilakukan tidak akan memberikan kesan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi cerun runtuh dan jalan rosak akibat banjir di Seksyen 71-74, FT050, Jalan Kluang - Mersing, di sini.
Sementara itu, lebih 5,000 jalan berlubang berjaya diselesaikan KKR di seluruh negara, pada tahun lalu.