KOTA KINABALU, 31 Mei- Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM3 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menangani masalah air yang dihadapi para pelajar universiti itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "langkah itu penting bagi memastikan kehidupan dan pembelajaran para pelajar tidak terjejas," katanya pada sesi Bual Bicara Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia di kampus induk UMS di Likas.
Menerusi program hampir dua jam itu, Anwar menjawab beberapa soalan berkaitan isu semasa termasuk peluang pekerjaan, isu air di sabah, pendidikan, jalan raya dan ekonomi secara santai dan terbuka.
Dalam majlis sama, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin turut bertanya isu kecurian air oleh pendatang tanpa izin sehingga UMS terpaksa membelanjakan kos membuat gerudi air bawah tanah.
Bagaimanapun, Anwar berkata pihaknya telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penjelasan berkenaan perkara itu.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga akan mempertimbangkan untuk menambah kuota peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU) dalam agensi kerajaan.
Program tersebut dihadiri lebih 5,000 belia di Dewan Canselor UMS dan dihadiri, Ketua Menteri Sabah, yang juga Pro Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
(Anwar Ibrahim)