KANGAR, 31 Mei- Pendidikan awal kanak-kanak merupakan tunjang utama bagi mempersiapkan kanak-kanak sebelum memasuki persekolahan.
Ia adalah asas bagi membolehkan si cilik belajar, bergaul dan membina hubungan baik dengan rakan sebaya termasuk guru mereka.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, "akses pendidikan awal ini membolehkan anak-anak ini mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan secara bersemuka di sekolah yang mana usaha seperti ini banyak ruang dan peluang akan diberikan kepada mereka untuk meneroka dunia pendidikan yang sebenar.
"Hasilnya, anak-anak ini menjadi lebih yakin dan peka akan keadaan sekeliling selain menjadikan mereka seimbang dari sudut sahsiah, rohani dan akademik," demikian titah baginda ketika menerima Penyerahan Biasiswa Smart Reader Kids–One Child One Hope bagi pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide, Datuk Seri Dr. Richard Ong dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Darus.
(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)