fb fb fb fb fb

RM3.4 juta peruntukan pulih projek perumahan terbengkalai di Terengganu- KPKT

(Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah bercakap kepada pemberita semasa melakukan lawatan
kerja di tapak projek perumahan Desa Gelugur Murni hari ini/ BERNAMA)

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM3.4 juta bagi memulihkan lima projek perumahan swasta terbengkalai di Terengganu.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peruntukan itu diluluskan hasil mesyuarat task force yang dipengerusikannya pada 24 Mei lalu.

"Kami dah tengok, jadi untuk Terengganu KPKT akan peruntuk RM3.4 juta bagi teliti beberapa projek yang terbengkalai untuk kita pulihkan.

"Jumlah itu akan disalurkan kepada lima buah projek terbengkalai daripada 12 keseluruhannya di negeri ini membabitkan beberapa daerah antaranya Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melawat projek perumahan swasta sakit di Kuala Terengganu.

Tambah beliau, pihaknya akan  berunding dengan kerajaan negeri bagi memperincikan kaedah penyaluran dan pengurusan peruntukan tersebut.

Dalam pada itu KPKT ketika ini sedang dalam fasa untuk membersihkan semula data dan statistik bilangan keseluruhan projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

"Ia bersifat dinamik. Bulan lepas saya umumkan jumlahnya sebanyak 435 buah projek sakit dan 112 terbengkalai, dan di Kuala Lumpur baru-baru ini pula saya maklumkan bilangannya meningkat.

"Jadi untuk bolehkan data itu konsisten maka segala data itu kita luluskan dalam mesyuarat task force yang dipantau Jabatan Perumahan Negara (JPN). Setiap bulan task force wajib untuk pastikan ada data yang selaras," katanya. 

Tahun lalu KPKT berjaya melancarkan kembali 92 buah projek dengan 80 daripadanya telah memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan, manakala 12 lagi projek telah kembali berjalan mengikut jadual pembinaan yang ditetapkan.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu