SHAH ALAM, 21 November - Kos Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sebanyak RM3.28 bilion melibatkan jumlah keseluruhan termasuk kemudahan lain yang akan dibangunkan di sekitarnya.
Penjelasan itu dibuat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari susulan terdapat persoalan dibangkitkan mengenai kenaikan kos pembangunannya.
Bagaimanapun, beliau berkata kos berkenaan masih belum diluluskan oleh kerajaan negeri sepenuhnya kerana yang dipersetujui adalah melibatkan kos naik taraf stadium membabitkan jumlah sehingga RM787 juta.
"Saya hendak memaklumkan RM3.28 bilion ini adalah kos keseluruhan kompleks. Kompleks itu merangkumi Stadium Melawati, Stadium Shah Alam, hotel, bangunan serta pusat stesen bersepadu dan pusat teater yang akan ada dalam cadangan fasa satu, fasa dua dan fasa tiga.
"Untuk itu, RM3.28 bilion ini merupakan kos keseluruhan yang belum kita persetujui yang sememangnya kita persetujui setakat ini betul-betul proses perobohan dan kita sedang menilai sampai pertengahan untuk proses pembinaan stadium kerana hasrat kita nak menggantikan stadium," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri telah menghantar pelan kebenaran merancang bagi projek KSSA pada 15 November lalu dengan proses perobohan Stadium Shah Alam dijangka dilaksanakan pada bulan hadapan dengan kos RM35.5 juta.
Sebelum ini, media melaporkan projek pembangunan semula KSSA membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2026.