fb fb fb fb fb

RM200 juta diperuntukkan bina 167 lagi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia

KUALA PERLIS, 22 Ogos- RM200 juta diperuntukkan bagi membina 167 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang baharu di seluruh negara, menjadikan sebanyak 1,080 PEDi telah dan akan beroperasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan komited untuk memastikan PEDi dapat memberi manfaat yang sebaik mungkin kepada rakyat.

"PEDi diharapkan membuat satu perekayasaan supaya PEDi dapat memainkan peranan yang berbeza daripada apa yang wujud sebelum daripada itu. Untuk tujuan itu kita telah bersetuju meluluskan RM200 juta untuk mencukupkan, tambah bilangan PEDi dan ini tender sedang diproses untuk membina 167 PEDi di seluruh negara menjadikan 1,080 semua sekali.

"Kita harap ia menjadi satu jaringan PEDi nasional yang mempunyai peranan aspek peningkatan keupayaan kepenggunaan ataupun aplikasi kepada teknologi digital dan juga keberadaan perkhidmatan jalur lebar di satu-satu kawasan dan juga melatih orang kita menjadi pengeluar kandungan, bukan hanya pengguna kandungan," kata Annuar kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna Negeri Perlis di sini.

(Tan Sri Annuar ditemu bual selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat
Ekonomi Digital Keluarga Malaysia dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna Negeri Perlis)

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

PEDi berperanan membantu para usahawan mendigitalkan perniagaan dalam talian, seterusnya menjana pendapatan.

PEDi juga berperanan sebagai Pusat Sehenti yang menyediakan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar selain membolehkan masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, mengambil bahagian dalam program mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.

Media Baharu