fb fb fb fb fb

RM200 juta diperuntuk bangunkan tanah wakaf di Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, 15 April - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 Juta bagi membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dana itu bertujuan meningkatkan pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera melalui pemilikan hartanah.

Beliau berkata, pembangunan tanah wakaf itu akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang kini di bawah pimpinan Pengerusi, Tan Sri Khalid Ramli.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Ini di antara tugas utama Majlis yang baru ini. sama ada program itu program perumahan atau perniagaan tentulah mengikut syariah kerana tanah itu tanah wakaf.

"Tanah wakaf ini 'tanah amanah' yang sudah lama ada yang kita rekod ada yang 100 tahun ada yang 80 tahun tetapi tidak dibangunkan dia terbiar dan setengah kawasan itu dia strategik di Pulau Pinang. Jadi kita boleh bangunkan untuk masyarakat melayu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang pertama, di sini.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz di Pulau Pinang mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).

Beliau berharap, dana itu dapat digunakan oleh pusat maahad tahfiz untuk merangka program serta menjalin kerjasama dengan pihak industri dan swasta.

"Dalam perbincangan dengan pengusaha dan pengurus sekolah tahfiz, mereka menyatakan ada keperluan untuk pelajar tahfiz di pusat maahad diberi peluang dan pendedahan dalam bidang lain.

"Jika tidak, peluang pekerjaan akan terbantut. Maka kita setuju selain menghafal al-Quran, mereka juga akan diberikan latihan TVET," katanya.

Media Baharu