KUALA LUMPUR, 30 Julai – Lebih 6,800 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi bakal diwujudkan hasil pelaburan digital bernilai RM2.97 bilion yang berjaya dibawa pulang menerusi misi pelaburan Malaysia ke China baru-baru ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaburan itu disahkan daripada syarikat teknologi terkemuka China dan membuktikan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi digital dan inovasi.
“Misi ini membuahkan hasil konkrit dan kemajuan strategik yang mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, lawatan rasmi ke Republik Rakyat China itu sempena Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2025 di Shanghai turut menerima komitmen pelaburan daripada syarikat seperti Baidu (melalui Wisetech), Tsing Digital, iSoftStone, Inspur Group, China Mobile International dan China Unicom.
Katanya, syarikat-syarikat itu membawa bersama teknologi canggih dan kepakaran untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara selari aspirasi Malaysia Digital (MD).
“Melalui pengiktirafan Status MD dan perkongsian strategik, Malaysia memperkukuh daya saing digital globalnya sambil membuka peluang baharu di Selangor, Johor dan Perak,” ujarnya.
Gobind turut mempelawa lebih banyak syarikat teknologi China membuka pusat inovasi di Malaysia, selaras hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai hab inovasi digital ASEAN.
Beliau turut menekankan keperluan membangunkan ekosistem teknologi baharu seperti mobiliti autonomi dan pusat arahan nasional yang menyokong bandar pintar dan tadbir urus digital lanjutan.
“Ketika teknologi digital membentuk semula masyarakat, Malaysia terus meneraju dengan pendekatan berasaskan nilai dan masa depan,” katanya.
Dalam konteks Kecerdasan Buatan (AI), Gobind menyifatkan agen AI sebagai komponen penting dalam landskap digital moden yang perlu dibangunkan secara beretika dan selamat.
“Sistem ini hanya akan berjaya jika rakyat yakin ia beroperasi secara selamat dan sejajar dengan nilai masyarakat,” tegasnya.
Malaysia juga bakal melancarkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN semasa kepengerusiannya tahun ini bagi menyelaras tadbir urus dan keselamatan AI di peringkat serantau.
Untuk menyokong penggunaan AI yang bertanggungjawab, Gobind mencadangkan pembangunan kerangka pensijilan AI bagi memastikan teknologi baharu mencerminkan keutamaan negara, konteks budaya dan perlindungan etika.