KUALA LUMPUR, 30 Julai - Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) menyeru kerjasama lebih erat dalam kalangan peneraju industri bagi memastikan ibu negara kekal sebagai destinasi pelancongan utama dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Presidennya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, tema yang dipilih 'Together for a Stronger Tourism Future' mengingatkan bahawa kekuatan industri ini terletak pada kesatuan.
"Dalam dua hingga tiga tahun yang lalu, industri ini baharu sahaja mula bangkit semula daripada pandemik COVID-19, namun pada tahun lalu dan tahun ini, kita dapat melihat perkembangan positif dari segi kedatangan pelancong. Inilah masanya untuk industri kembali memperkukuh kerjasama antara satu sama lain," katanya dalam ucapan perasmian majlis KLTA'S Tourism Industry Hi-Tea Networking Session 2025 di sini.
Majlis itu turut dihadiri agensi kerajaan seperti Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain lebih 200 peneraju industri termasuk wakil hotel, agensi pelancongan dan sektor pengangkutan.
Dalam ucapannya, Syed Azhar turut berkongsi pencapaian Kuala Lumpur di peringkat global antaranya tersenarai sebagai bandar ke-10 paling banyak dikunjungi di dunia pada tahun 2024 dan destinasi kedua paling popular 2025 oleh TripAdvisor.
"Apabila agensi kerajaan, pengusaha pelancongan dan komuniti bersatu, lebih banyak kejayaan dapat dicapai berbanding bergerak secara sendiri. Ini yang kita tekankan dalam usaha memperkukuh ekosistem pelancongan Kuala Lumpur," tambahnya.
Menurut beliau, usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kelestarian pelancongan bandar raya itu.
Majlis hari ini merupakan platform strategik yang menyatukan sektor awam dengan swasta bagi memperkukuh kesiapsiagaan Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.