fb fb fb fb fb

RM18.9 Juta diperuntukkan untuk sistem CCMS di 100 klinik kesihatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 8 Februari – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan RM18.9 juta bagi pelaksanaan Sistem Berasaskan Awan (CCMS) di 100 buah klinik kesihatan di seluruh negara.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebagai permulaan, 10 klinik kesihatan di Pulau Pinang akan dilengkapi dengan sistem berkenaan pada tahun ini.

“Sebanyak 10 klinik kesihatan di Pulau Pinang akan kita bangunkan pada tahun 2025 dan dilengkapi dengan CCMS.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 100 buah klinik di seluruh negara akan dibangunkan berdasarkan belanjawan 2025 yang diterima oleh KKM, iaitu berjumlah RM18.9 juta,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) dan Hari Terbuka di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini.

Tambahnya, sistem berkenaan akan memudahkan proses menunggu di fasiliti kesihatan KKM selain memanfaatkan teknologi pendigitalan.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya pada tahun hadapan.

Terdahulu, pada Isnin lepas, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa KKM berjaya mengurangkan tempoh waktu menunggu di klinik kerajaan daripada tiga jam kepada 30 minit menerusi pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD