SEREMBAN, 28 Disember - Sebanyak RM160,000 berjaya dikumpulkan menerusi program kebajikan NS Fest Golf Charity 2025 dengan penyertaan 24 pemain industri setempat, bagi menyokong keperluan pendidikan serta kebajikan pelajar di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan itu diserahkan kepada 44 buah sekolah di sekitar Nilai dan Labu sekali gus meringankan beban institusi pendidikan terlibat.
Inisiatif kebajikan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan insan, berteraskan nilai kemanusiaan serta kesejahteraan rakyat.
"Sebanyak 44 buah sekolah di kawasan Nilai dan Labu menerima manfaat daripada sumbangan hasil penganjuran Golf NS Fest ini. Pendidikan kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri dalam usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan NS Fest Golf Charity 2025, di sini.
Pada majlis sama Datuk Seri Aminuddin turut menyampaikan sumbangan penajaan pakaian sekolah kepada keluarga terjejas susulan kebakaran di Kampung Batu 9, Labu, yang berlaku pada 24 Disember lalu.
"Dalam majlis yang penuh makna ini, saya ingin menyatakan rasa simpati dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kejadian kebakaran melibatkan 10 buah rumah serta menjejaskan seramai 51 penduduk di Kampung Batu 9, Labu.
"Seramai enam pelajar daripada empat keluarga terjejas akan menerima sumbangan penajaan pakaian sekolah," katanya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan serta sesi bergambar bersama wakil sekolah penerima.
NS Fest Golf Charity 2025 dilihat sebagai platform berkesan dalam memupuk budaya prihatin dan tanggungjawab sosial korporat ke arah pembangunan pendidikan yang mampan di Negeri Sembilan.