AYER KEROH, 28 Disember - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan lebih RM3 juta bagi bantuan awal persekolahan kepada 9,000 anak-anak asnaf, fakir dan miskin di negeri itu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, berkata bantuan diberikan melalui baucar untuk pembelian barangan keperluan sekolah.
Baucar berkenaan boleh ditebus di lokasi-lokasi telah ditetapkan, termasuk dewan khas yang menempatkan pelbagai barangan keperluan persekolahan, dengan tempoh penebusan dibuka selama seminggu.
"Secara keseluruhan, seramai 9,000 penerima dalam kalangan asnaf, fakir dan miskin menerima sumbangan RM350 setiap orang dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM3.15 juta," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Melaka Berselawat sempena Ambang Tahun Baru 2026 di Dataran MBMB, di sini.
Meskipun keadaan hujan namun ia tidak menghalang kehadiran hampir 5,000 pengunjung mengimarahkan majlis itu.