BATU MAUNG, 28 April-Sebanyak 12 kes berprofil tinggi berjaya ditumpaskan oleh Maritim Malaysia dalam Ops Khas Pagar Laut yang dilaksanakan bermula 9 April hingga 25 April lepas di perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, 12 tangkapan berprofil tinggi berkenaan membabitkan tiga kes tangkapan menyeludup masuk rokok, dua kes kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta masing-masing satu kes mencuri dan rompakan berkumpulan
"Jadi dengan nilai rampasan yang kita anggarkan mencecah RM13 Juta saya anggap ops pagar laut ini sebagai berjaya.
Ops Pagar Laut ini juga memperlihatkan komitmen tinggi Maritim Malaysia sebagai agensi barisan hadapan yang mengawal kawasan perairan negara", katanya dalam sidang media selepas sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pengawai dan anggota Maritim yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau di sini.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin menegaskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih utuh dan stabil bagi terus mentadbir negara.
Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berkata kerajaan kini fokus bagi memulihkan semula ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Saifuddin turut enggan mengulas desas-desus tentang kemungkinan kerajaan Perpaduan bakal tumbang.
"Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar masih kukuh dan berfungsi.
"Saya juga tak bercadang untuk mengulas terhadap apa juga desas desus di luar sana," katanya.
(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/FOTO RTM)