fb fb fb fb fb

RM120 juta bantu pekebun kecil, RM600 juta lonjak industri getah negara

Agrikomoditi menyumbang hampir RM90 bilion ringgit kepada KDNK tahun lalu /FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Sejumlah RM120 juta ringgit disalurkan bagi membela nasib pekebun kecil dan pemain industri agrikomoditi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, peruntukan itu menyokong pelbagai segmen agrikomoditi di seluruh negara bagi meningkatkan produktiviti dan mengimbangi kenaikan harga input perladangan.

Antara tumpuan utama termasuk menampung sebahagian kos tanaman semula sawit bagi menggantikan pokok sawit tua yang tidak lagi produktif.

Langkah ini diharap dapat meningkatkan hasil sawit dan daya saing pekebun kecil sawit di pasaran.

Kerajaan juga akan merancakkan ikhtiar untuk meningkatkan penghasilan lateks.

"Usaha ini menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah dan mengusaha semula ladang-ladang getah
persendirian yang terbiar," kata Datuk Seri Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat.

Langkah itu sekali gus memperhebatkan semula industri getah asli negara yang kian merosot.

Dalam sektor koko, kerajaan akan membekalkan 1.1 juta anak benih koko berkualiti kepada pekebun kecil, selain menyediakan latihan dan sokongan teknikal melalui kerjasama pemain industri.

Bagi pekebun kecil lada, peruntukan khas turut disediakan bagi mengurangkan beban kos input seperti baja dan racun, yang telah meningkat ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tumpuan turut diberikan kepada usaha menyokong pekebun kecil kenaf untuk meningkatkan hasil sebagai salah satu sumber pertumbuhan baharu agrikomoditi.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) pula akan membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan sejumlah pelaburan besar.

"LGM akan membangunkan institusi ini dengan kos RM600 juta demi kemampanan masa depan industri," jelas Perdana Menteri.

Pusat itu akan menjadi pemangkin penyelidikan dan inovasi industri getah negara demi menjamin kemampanan jangka panjang.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyalurkan RM50 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan jalan ladang di seluruh negara — satu keperluan kritikal bagi memudahkan urusan logistik hasil tani.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN