KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Seramai 150,000 murid orang kurang upaya (OKU) akan menerima elaun bulanan sebanyak RM150 dengan peruntukan RM270 juta dalam Belanjawan 2026, sebagai komitmen kerajaan membela kebajikan dan pendidikan anak-anak istimewa di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai ketabahan ibu bapa yang cekal membesarkan anak-anak istimewa dan akan terus memperkukuh kemudahan pendidikan serta sokongan kepada mereka.
“Kepada ibu bapa yang cekal membesarkan anak-anak istimewa, kerajaan berikrar untuk terus membela kebajikan dan pendidikan anak-anak ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, dua sekolah pendidikan khas baharu akan dibina iaitu SMK Pendidikan Khas Kota Damansara, Selangor dan SMK Pendidikan Khas Pasir Mas, Kelantan, bagi menampung keperluan pembelajaran pelajar berkeperluan khas di peringkat menengah.
Selain itu, kerajaan akan membina 35 blok tambahan pendidikan khas di sekolah sedia ada dengan kos RM700 juta, serta memperuntukkan RM30 juta bagi menambah baik kemudahan dan peralatan sekolah supaya lebih mesra OKU.
“Kerajaan juga akan memperkenalkan Kelas Tunas Istimewa di Tabika KEMAS bagi kanak-kanak mild autism, dengan pelaksanaan awal di Tabika Komta Gong Kuin (Terengganu), Tabika Kerupang 3 (Labuan) dan Tabika FELDA Teloi Timur (Kedah),” katanya.
Selain itu, Program Anak Kita dengan kerjasama Yayasan Hasanah turut dilaksanakan bagi menangani isu keciciran pendidikan, dengan peruntukan RM30 juta.
Manakala RM115 juta disediakan bagi melatih guru dalam persediaan Kurikulum 2027 dan latihan pedagogi STEM selaras dengan penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
BERITA BERKAITAN
- 38 sekolah baharu akan dibina, 350 kelas prasekolah tambahan
- Belanjawan 2026: Peruntukan KPM RM66.2 bilion
- 5.2 juta murid terima RM150 Bantuan Awal Persekolahan tahun depan