KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kerajaan menegaskan bahawa sistem kewangan Islam tidak boleh kekal dalam kerangka lama, sebaliknya perlu berevolusi bagi memenuhi keperluan semasa dan menjadi penyelesaian mampan untuk kesejahteraan ummah.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan termasuk model pembiayaan berasaskan perkongsian risiko seperti musyarakah dan murabahah, serta kaedah pembiayaan campuran (blended finance).
"Labuan IBFC disasarkan menjadi Hab Kewangan Islam Digital, dengan pelancaran Inisiatif Global Tokenisasi Sukuk yang membolehkan sukuk didigitalkan dan diniagakan secara runcit di bursa digital. Selain itu, Sukuk Iklim diperkenalkan bagi membiayai projek hijau dan pemberian dividen dalam bentuk kredit karbon.
"Program iTEKAD, dengan dana padanan RM35 juta, turut diperluas untuk membantu penerima meningkatkan kemahiran dan memperoleh pendapatan stabil melalui pekerjaan formal," katanya.
Sementara itu, dalam memperkukuh peranan wakaf, UDA Holdings Berhad akan menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta meliputi Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B.
Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan Sukuk Wakaf Tunai Berinovasi Tokenisasi bagi membiayai pendidikan khas, pusat autisme dan fasiliti rawatan paliatif. Suatu langkah yang mengubah sumbangan wakaf individu menjadi pembiayaan sosial mampan.