
GEORGE TOWN, 10 Ogos – Sebanyak RM12.3 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pendidikan serta pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Pulau Pinang dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir berkemahiran tinggi.
- Sasar melatih 100,000 pelajar dalam tempoh lima tahun sejajar keperluan industri berteknologi tinggi.
- Pendekatan memastikan pembangunan STEM sentiasa selari dengan permintaan industri, khususnya semikonduktor dan elektrik dan elektronik.
- Kerajaan akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak supaya menjelang 2030 dapat meningkatkan minat serta kapasiti bakat STEM.
- Inisiatif ini memperkukuh Pulau Pinang sebagai hab teknologi utama dan menyokong pembangunan bakat tempatan berimpak tinggi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, menerusi inisiatif itu, seramai 100,000 pelajar disasarkan akan dilatih dalam tempoh lima tahun, sejajar dengan keperluan industri berteknologi tinggi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan STEM sentiasa selari dengan permintaan semasa industri, khususnya dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik yang menjadi kekuatan utama Pulau Pinang.
“Kerajaan bersetuju untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak supaya menjelang 2030, kita dapat melatih 100,000 pelajar dalam usaha meningkatkan minat terhadap STEM.
“Pada masa sama, kita turut melihat impak pelaburan ini terhadap ekonomi negara dan Pulau Pinang, memandangkan negeri ini mempunyai kelebihan dari segi ekosistem industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik,” katanya selepas merasmikan Peluncuran Projek Rintis Bakat STEM di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab teknologi utama negara selain menyokong agenda pembangunan bakat tempatan dalam bidang berimpak tinggi.