(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dan
menyampaikan kit bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara
di SJK(C) New Kota)
KOTA TINGGI, 2 Mac- Sebenyak RM10 juta disediakan untuk NADMA membeli peralatan dan bantuan tambahan, bagi penduduk terjejas banjir di Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan segera itu bagi memastikan semua kelengkapan terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, memandangkan jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat.
"Saya sudah mengarahkan NADMA membuat pembelian segera, membabitkan selimut, bantal dan tilam berikutan peralatan itu mengalami kekurangan di PPS di sini dan serahkan segera kepada Jawatankuasa Banjir Daerah untuk digunakan mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, beliau berkata, selain peruntukan berkenaan, kerajaan turut menyediakan RM7.6 juta bagi meningkatkan sistem perparitan di Kota Mas dan bandar Kota Tinggi.
Katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri akan menyelaras tugas kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan terjejas.
Menurutnya, ini termasuk meminta bantuan tambahan daripada JKM di negeri lain, bagi membantu tugas di Johor.
Terdahulu, Ahmad Zahid diiringi Onn Hafiz turun meninjau keadaan banjir di pusat bandar Kota Tinggi yang semakin buruk di samping meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang.
Keadaan banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsanya dilaporkan terus melonjak kepada 28,099 orang terdiri daripada 7,805 keluarga di 197 PPS , setakat jam 4 petang tadi.
Banjir ketika ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bencana banjir besar pada 2006, yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk negeri ini terjejas.
(Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau pusat pemindahan sementara (PPS)
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota)
Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan banjir di Johor dan beberapa negeri lain semakin buruk berikutan perubahan iklim akibat fenomena global, namun kerajaan perlu bersedia dari sekarang untuk membantu rakyat.
Apatah lagi katanya, mengikut laporan antarabangsa, aktiviti pemanasan global akan menyebabkan kebanyakan pulau kecil yang berada di lautan seluruh dunia, termasuk Laut China Selatan akan berada di bawah paras bawah laut dan dan tenggelam pada 2050.
"Selain itu, punca banjir di Johor yang buruk kali ini disebabkan luruan hujan yang sangat luar biasa. Ia menyebabkan paras sungai utama meningkat mendadak berikutan hujan luar biasa, selain air susulan hujan di Pahang yang mengalir ke sungai negeri ini," katanya.