SIK, 8 November - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM430,000 bagi melaksanakan program Pembangunan Usahawan di Kedah, tahun ini.
Pengarah RISDA Kedah, Abdul Aziz Awang berkata, Program Pembangunan Usahawan melibatkan tiga proses utama bermula dengan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) diikuti oleh Pengembangan Perniagaan dan Pemasaran.
Menurut beliau program itu dirangka untuk membantu meningkatkan purata pendapatan kolektif dalam kalangan pekebun kecil sebanyak RM4,500 sebulan menjelang akhir tahun 2025.
"Pada tahun ini, RISDA daerah Sik telah diperuntukan sebanyak RM180,000 bagi program AET yang melibatkan seramai 18 orang usahawan dan RM250,000 bagi program Pengembangan Perniagaan yang melibatkan seramai 28 orang usahawan.
"Nilai bantuan Pembungkusan maksimum RM10,000 per usahawan dan bantuan Pelabelan maksimum RM5,000 per usahawan.
"Sejumlah 13,934 pekebun kecil di daerah Sik yang bergantung kepada sumber komoditi itu," kata Abdul Aziz di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah(GKKG) Peringkat RISDA Daerah Sik di Kampung Betong, Jeneri, Sik.
Pada majlis itu, Abdul Aziz menyerahkan bantuan Pembungkusan dan Pelabelan bagi membina jenama dan identiti produk atau perkhidmatan usahawan pekebun kecil.
Program Pembangunan Usahawan merupakan salah satu cabang utama dalam Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR) bagi tahun 2021 hingga 2025.