KUALA LUMPUR, 7 Februari- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan transformasi dalaman.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti tahap pengurusan syarikat dan memberi nilai tambah kepada RISDA termasuk anak syarikat di bawah RISDA Holdings dan meningkatkan kualiti kehidupan pekebun kecil getah.
"Soal pekebun-pekebun kecil ini, mesti dikeluarkan daripada kepompong garis kemiskinan. Untuk mencapai ke arah itu,pelbagai transformasi mesti dilakukan.
Bukan hanya dalam soal ekonomi tetapi bagaimana sahsiah mereka, soal kerohanian supaya terdapat perimbangan di antara pemodenan kepada produktiviti bukan sekadar penorehan tetapi dalam aktiviti pengeluaran dan juga jualan," kata Zahid kepada pemberita RTM pada sidang media selepas menghadiri taklimat di ibu pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), hari ini.
(Foto Fail)
Tambah beliau lagi, satu perancangan yang baharu perlu diwujudkan bagi memastikan permintaan getah asli kekal tinggi walau terdapat persaingan daripada getah tiruan.
Pada masa sama, batang pokok getah yang telah ditebang bagi proses penanaman semula boleh digunakan bagi pembuatan perabot dan menjana pendapatan tambahan.
Datuk Seri Dr Zahid juga berharap agar dengan usaha berkenaan, matlamat untuk menjadikan pekebun kecil mempunyai pendapatan melebihi RM4,500 setiap isi rumah akan tercapai.