KUALA LUMPUR, 7 Februari- Isu keselamatan siber perlu diberi perhatian semua pihak termasuk pengguna internet.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa semua pengguna untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menggunakan internet, media sosial serta lain-lain aplikasi.
Beliau menyarankan agar menggunakan kemudahan teknologi ini dengan positif, berhemah dan penuh tanggungjawab bagi mewujudkan komuniti siber madani.
(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil/BERNAMA)
"Selamat Hari Keselamatan Internet 2023 , sentiasa bijak, selamat dan bersama-sama ke arah kesejahteraan siber", katanya menerusi video sempena sambutan itu yang dimuat naik di Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital.
"Ancaman dan serangan siber berupaya menyebabkan berlaku pelbagai insiden antaranya ketirisan data, kecurian maklumat peribadi, pencerobohan, penggodaman, penipuan dalam talian, scam dan buli siber", katanya.
Beliau berkata insiden seumpama itu berlaku disebabkan penggunaan teknologi dan internet tidak selamat, (penggunaan) tanpa amalan baik yang sewajarnya.