KUALA LUMPUR, 7 Februari- Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama akan diadakan pada malam ini adalah bagi memperkukuh kerajaan dan membincangkan agenda merakyat manifesto.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerjasama antara parti-parti gabungan amat penting dalam mencari titik persamaan.
"Kita mungkin akan membincangkan beberapa perkara agenda bagi memperkukuh kerajaan bukan hanya dari segi aktiviti politik tetapi bagaimana agenda merakyat manifesto selain mencari titik persamaan bagi pelaksanaan," kata Zahid kepada pemberita RTM pada sidang media selepas menghadiri taklimat di ibu pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), hari ini di ibu negara.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam satu
sidang media di ibu negara)
Mesyuarat kali pertama itu dijangka akan bermula pada pukul 8.30 malam dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Mesyuarat tersebut juga akan dihadiri Datuk Seri Dr Zahid selaku Presiden UMNO, pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) serta pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.