fb fb fb fb fb

RISDA cadang harga lantai getah dirunding bersama Malaysia, Thailand dan Indonesia

BANGKOK, 27 Februari- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyambut baik cadangan untuk mempergiat rundingan antara anggota Majlis Tripatite Getah Antarabangsa (ITRC).

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, negara anggota ITRC Malaysia, Thailand dan Indonesia perlu sepakat dalam isu penetapan harga komoditi itu.

"Harapan kita supaya ianya dapat direalisasikan bersama dalam soal meletakkan harga lantai getah kerana semua pengeluar mesti duduk semeja bersama-sama agar perkara ini dapat dijamin harga yang baik, manakala impak kepada pekebun kecil juga mendapat sambutan yang baik menjelang tahun 2025," katanya.

Beliau mengulas cadangan kawalan penawaran getah oleh anggota ITRC seperti yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatnya di Thailand, pada lawatan rasmi dua hari ke negara itu, Jumaat lalu.

Pengeluaran getah asli Malaysia pada tahun 2021 berjumlah 469,000 tan metrik, menurun 8.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah itu meletakkan Malaysia di tangga ketujuh dalam pengeluaran getah dunia.

Sektor pekebun kecil merupakan penyumbang utama pengeluaran getah asli iaitu 90 peratus dengan pendapatan sebanyak RM2.28 billion bagi skrap, berbanding pendapatan pekebun kecil yang menghasilkan lateks sebanyak RM3.52 bilion.

Melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) RISDA melaksana Program Skim Insentif Lateks (SIL) bagi menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap import lateks.

Dengan pelaksanaan SIL ini juga, pendapatan pekebun kecil yang menghasilkan lateks diharap dapat ditingkatkan sebanyak 30 peratus berbanding getah skrap.

Media Baharu