(Sebahagian daripada pemancing yang dilaporkan hilang petang tadi/Foto Media Sosial)
KANGAR, 26 Februari- Ke semua 18 mangsa termasuk empat kru sebuah bot yang dilaporkan hilang diperairan Langkawi awal petang tadi sudah ditemukan.
Menurut pemilik bot Empayar Mahsuri menerusi status di Facebook, mangsa telah diselamatkan oleh sebuah bot pukat C2.
RTM difahamkan, pihak Maritim dalam perjalanan untuk pengesahan maklumat dan pemancing serta semua kru kapal.
"Sama-sama, kita berdoa agar semua selamat dan dalam keadaan baik," menurut status tersebut.
Sementara itu, rakan salah seorang pemancing, Rizal Hashim yang dihubungi wartawan RTM, memberitahu ke semua mereka ditemui terapung oleh bot tersebut, kira-kira 8.00 malam tadi.
RTM turut difahamkan pihak APMM akan mengadakan sidang media mengenai perkara tersebut.
Terdahulu, 18 pemancing termasuk 4 kru sebuah bot dilaporkan karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi sekitar pukul 2 petang tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, KM TENGGOL, Bot PERKASA 1225 dan Bot PENYELAMAT 5 telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
Turut membantu pencarian Tentera Laut DiRaja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta komuniti nelayan setempat.
Sektor operasi diperluaskan daripada 5 batu nautika ke 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek timbul seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot berkenaan.
Penemuan barangan tersebut adalah pada jarak 4.8 batu nautika, barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang.