FOTO BERNAMA
KUCHING, 26 Februari- Pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna kali ini amat bertepatan dengan tema Temasya Kepelbagaian Budaya berikutan bandar Kuching mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob memberitahu antaranya pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan Asean pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia (World Craft City) oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018.
Tambahnya, dengan kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy ini, ia mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak.
"Daripada hidangan makanan tempatan seperti mee kolok, laksa sarawak, kek lapis sarawak, persembahan seni tari pelbagai etnik sehinggalah jualan kraftangan, semuanya mempunyai keunikannya tersendiri. maka tidak hairanlah sambutan festival mega ini cukup signifikan dari segi tagline Malaysia- Truly Asia." kata Ismail Sabri.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Malam Gala Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Sungai Kuching juga memberitahu Sarawak juga mempunyai 28 etnik yang mencorak keunikan budaya yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat di Bumi Kenyalang tetapi seluruh Keluarga Malaysia amnya.
Ujarnya, festival Citrawarna Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari ini juga pastinya berupaya mempromosikan produk kesenian dan warisan khususnya di Sarawak yang kaya dengan biodiversiti.