fb fb fb fb fb

Mangsa bot karam tiba di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut Langkawi

LANGKAWI, 27 Februari- 14 pemancing dan empat kru sebuah bot nelayan yang ditemukan selamat selepas bot dinaiki mereka karam petang semalam, tiba di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut Langkawi kira-kira pukul 11.45 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zawawi Abdullah berkata, kesemua mangsa menaiki Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5.

"Dua daripada mangsa mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha Langkawi.

Salah seorang berkemungkinan patah kaki dan seorang lagi mengalami kecederaan pada tangan kiri, manakala 16 lagi mangsa didapati sihat dan pemeriksaan akan dilakukan," katanya.

Kesemua mangsa yang berasal dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur itu berlepas dari jeti nelayan Kuala Perlis pada Khamis lalu dan dijadual pulang pada pagi Ahad.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd Syarin Samsudin memberitahu, insiden berkenaan berlaku terlalu pantas.

"Air masuk bot, jadi kami pun bergegas pakai jaket keselamatan dan semua keluar daripada bot.

Tekong bagi amaran, kita kena tinggalkan bot begitu sahaja, kejadian tu berlaku dalam masa lima minit, daripada mula-mula air masuk sehingga bot tenggelam," katanya.

Tekong bot, Basri Aziz pula memaklumkan, ombak tinggi menyebabkan bahagian hadapan dan bawah kapal pecah serta dimasuki air.

"Ombaknya melebihi lima meter, jadi kami balik dengan kelajuan empat atau tiga knot sahaja, tidak boleh lebih.

Tidak boleh laju, papan depan pecah, papan bawah juga pecah dan air masuk ikut depan, memang tidak boleh hendak buat apa," katanya ketika menceritakan semula detik cemas kejadian tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa sebelum ini disertai Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat.

Media Baharu