fb fb fb fb fb

Penyusutan ringgit beri impak minimum pembelian stok ubat negara

Dr Dzulkefly Ahmad

TANJONG KARANG, 24 Februari- Penyusutan nilai mata wang ringgit dijangka tidak memberi impak ketara terhadap pembelian stok ubat negara kerana Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa membuat pembelian lebih awal.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, harga ubat tidak akan berubah menerusi langkah tersebut.

"Kita beli awal (stok ubat), kita lock in awal. Mungkin dalam sehari dua ini mata wang kita menjunam atau sedikit mengurang, tetapi kita sebenarnya bayar dengan harga (asal) yang kita telah lock in dulu.

"Ini cara kita untuk elak daripada terkena (kesan) akibat turun naik (ringgit)," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Pergigian di Hospital Tanjong Karang di sini.

Tambah beliau, KKM bertindak selektif dalam mengimport ubat-ubatan dari luar negara kerana keutamaan pihaknya adalah pada produk tempatan.

"Kita sangat memilih dalam hal ini sebab kita nak mengutamakan generik barangan tempatan. Industri farmaseutikal kita juga tidak kurang hebat.

"Jadi kita tidak perlu sangat membuat perolehan daripada luar. Pada saya (penyusutan ringgit beri kesan) minimum, minimum kesannya" jelasnya lagi.

SITI AISHAH MD ISA