KUALA LUMPUR, 12 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga jam 1 tengah hari ini.
Kawasan yang dijangka terjejas di Kedah ialah Langkawi, manakala di Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Terengganu, kawasan Marang, Dungun dan Kemaman dijangka mengalami keadaan cuaca sama, selain Rompin di Pahang, serta Sabak Bernam di Selangor.
Sementara itu, di Johor, kawasan yang terlibat ialah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Mersing dan Pontian, manakala di Sarawak melibatkan Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah) serta Miri (Telang Usan).
Di Sabah, kawasan Pedalaman (Nabawan dan Keningau) serta Tawau (Tawau dan Semporna) turut dijangka terkesan.
“Amaran ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” menurut kenyataan itu pagi ini.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.