KUALA LUMPUR, 2 Julai - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 5 petang.
MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, antara kawasan terlibat di Kedah meliputi daerah Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Manakala di Perak, kawasan terlibat ialah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Pahang, kawasan yang dijangka terjejas ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub.
Di Selangor melibatkan Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, termasuk juga seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, di Johor, kawasan terlibat ialah Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Sarawak, ribut petir dijangka berlaku di Mukah (Mukah), Bintulu serta beberapa kawasan di Miri iaitu Subis, Beluru, Miri dan Marudi.
Bagi negeri Sabah, amaran cuaca buruk dikeluarkan untuk kawasan Telupid, Beluran dan Sandakan di bawah bahagian Sandakan.
MetMalaysia berkata, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh melebihi satu jam.
Amaran tersebut merupakan amaran jangka pendek dan hanya sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam.