fb fb fb fb fb

Ribut: Lebih 90 rumah rosak di Perlis

Salah sebuah rumah dan kenderaan yang rosak akibat kejadian ribut awal pagi tadi

KANGAR, 23 Jun- Sebanyak 92 buah rumah rosak di beberapa kawasan di Perlis selepas negeri itu dilanda hujan lebat serta ribut, awal pagi tadi.

Kejadian sekitar pukul 2.00 pagi sehingga 3.00 pagi itu melibatkan 41 buah kampung antaranya adalah Kok Klang, Behor Masjid, Kurung Batang, Kubang Gajah dan Banggol Sena.

Turut terlibat adalah Kampung Tebuk, Sungai Bari, Che Ok, Titi Beratap, Permatang Bongor dan Seberang Tok Pi, Teluk Jambu, Guring dan Padang Melangit.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan amil kariah terlibat serta agensi pengurusan bencana negeri telah meninjau lokasi terjejas ribut.

Bantuan bagi membaiki rumah terjejas sedang diselaras oleh MAIPs dan JKM berdasarkan laporan serta tinjauan ke setiap rumah terlibat.

Mohd Nazim memberi jaminan bahawa penyaluran bantuan akan disegerakan.

Sehubungan itu, mangsa ribut diminta segera membuat laporan polis dan mengemukakan laporan berkenaan berserta gambar kejadian kepada JKM.

SITI AISHAH MD ISA